Antara persoalan yang selalu timbul di kalangan pesakit leukemia adalah masalah penglihatan mereka yang terjejas. Kebanyakan dari mereka tidak dapat memahami mengapa penglihatan mereka mengalami masalah disebabkan leukemia.

Artikel ini akan menjawab segala persoalan anda mengenai kaitan antara keduanya.

Bagaimana Kanser Darah Boleh Melibatkan Mata?

Penglibatan mata boleh mendahului diagnosis leukemia atau boleh berlaku pada waktu yang sama penyakit ini dikesan.

Perubahan ini terhasil daripada infiltrasi langsung (‘direct infiltration’) sel-sel leukemia ke tisu mata atau secara tidak langsung dari perubahan keseluruhan badan yang berlaku disebabkan oleh leukemia.

Apakah Perubahan Yang Boleh Berlaku Pada Mata Dan Penglihatan?

Infiltrasi secara langsung boleh hadir dalam tiga corak utama:

  1. 1. Infiltrasi pada segmen hadapan (anterior) uvea.
  2. 2. Penyusupan sel kanser boleh menyebabkan perdarahan spontan di dalam mata dan penonjolan bola mata (‘proptosis’).
  3. 3. Penyusupan ke sistem saraf tunjang / utama (‘central nervous system’) termasuk saraf mata (optic) dan saraf yang mengawal pergerakan bola mata dan saiz anak mata.

Gambarajah 1: infiltrasi pada mata menyebabkan pendarahan di dalam mata

 

Gambarajah 2: Chloroma dan proptosis

Perubahan secara tidak langsung terhasil dari perubahan sel-sel darah yang disebabkan oleh leukemia sendiri seperti kekurangan darah merah (‘anemia’), kekurangan sel platlet, ubat kemoterapi dan peningkatan kepekatan darah (‘hyperviscosity’).

Ini boleh hadir sebagai perdarahan retina atau vitreous (gambar), jangkitan kuman dan penyumbatan salur darah.

Gambarajah 3: Pendarahan retina dan vitreous

 

Bagaimanakah Perubahan Dapat Dikesan?

Anda perlu dirujuk ke pakar mata (‘ophthalmologist’) dan pemeriksaan terperinci akan dilakukan. Ini termasuk:

  • • Ketajaman visual (‘visual acuity’).
  • • Medan penglihatan.
  • • Penilaian saraf mata dan bahagian dalam mata dengan menggunakan alat funduskopi.

Gambarajah 4: Ujian ketajaman visual menggunakan Snellen Chart

Gambarajah 5: Ujian konfrontasi medan penglihatan

Bolehkah Perubahan Pada Mata Dan Penglihatan Disebabkan Leukimia Dirawat?

Rawatan bergantung kepada struktur mata yang terlibat

  1. 1. Rawatan spesifik terhadap leukemia – dengan pemberian kemoterapi bagi membunuh sel-sel leukemia.
  2. 2. Rawatan suportif – pembetulan terhadap kekurangan darah merah dan platlet, menurunkan paras darah putih tinggi yang menyumbang terhadap kepekatan darah.
  3. 3. Rawatan spesifik pada mata – bergantung kepada struktur mata yang terlibat. Jika pendarahan yang sangat banyak di dalam gel mata (vitreous), doktor mungkin akan mencadangkan pembedahan mata. Jika tiada pendarahan atau tiada gangguan penglihatan, pantauan secara berkala adalah mencukupi. Potensi penglihatan bergantung kepada tahap keterukan penglihatan dan struktur penting yang terlibat.

Kesimpulan

Terdapat kaitan antara masalah penglihatan dan leukemia samada secara langsung atau tidak langsung berdasarkan penerangan di dalam artikel ini. Kesedaran tentang kaitan antara kedua ini dapat membantu pesakit leukemia untuk mendapatkan rawatan yang sesuai untuk mereka.

Kongsikan artikel ini untuk memberi manfaat kepada ramai orang.

Pengarang :
Dr Nor Rafeah Tumian
Pakar Perunding Hematologi Klinikal,
Jabatan perubatan, PPUKM

Similar Posts